Halaman Utama

PENGENALAN KUALITI SISWA GURU (KSG)

Kualiti Siswa Guru (KSG) menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh siswa guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh institusi latihan perguruan bagi membantu siswa guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan. Laman web ini disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada siswa guru, pendidik guru dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru berkualiti.

Malaysia memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan kelas pertama dengan bina upaya merupakan pendekatan utama ke arah mencapai status negara maju pada tahun 2020. Modal insan adalah harta yang boleh disuntik nilai tambahnya, diinjakkan nilai inteleknya serta diperbanyak modal budayanya.

Pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan berkualiti yang dapat menghasilkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju. Pendidikan juga perlu membentuk modal insan yang mampu berfikiran kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baharu, mempunyai daya tahan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang sering berubah.

Dalam abad ke-21 ini, negara menghadapi cabaran baharu kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Sehubungan dengan itu, Malaysia memerlukan modal insan yang juga celik TMK, progresif dan mampu bersaing di pasaran kerja global.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan mereka yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan. Antara langkah yang telah diusahakan termasuklah memantapkan latihan perguruan, menambah baik sistem pemilihan calon guru, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan perguruan, dan menambah baik laluan kerjaya serta kebajikan guru.