Glosari

Berikut adalah penjelasan kepada istilah yang digunakan dalam laman web Kualiti Siswa Guru

  1. Siswa Guru
    • guru pelatih yang sedang mengikuti kursus praperkhidmatan di IPG.

  2. Kualiti
    • Pernyataan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru.

  3. Bilik Darjah
    • Lokasi dan ruang di mana sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan, termasuk bilik kuliah, bengkel dan makmal.

  4. Kompetensi
    • Pengetahuan dan kemahiran siswa guru berdasarkan amalan pedagogi abad 21, pengetahuan isi kandungan, kemahiran insaniah serta nilai diri dan sosial.

  5. Institut Pendidikan Guru (IPG)
    • Organisasi yang bertanggungjawab mereka bentuk dan melaksanakan latihan perguruan.

  6. Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)
    • Institusi yang melaksanakan latihan perguruan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

  7. Sekolah
    • Institusi pendidikan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah, sekolah teknik, sekolah pendidikan khas.

  8. Murid
    • Pelajar sekolah yang menerima pengajaran dan pembelajaran daripada guru.

  9. Program
    • Susunan kursus dan isi kandungan pembelajaran yang dirancang serta direka bentuk bagi suatu tempoh tertentu untuk mencapai hasil pembelajaran seperti yang ditentukan dalam matlamat dan objektifnya. Program yang dimaksudkan akan menjurus kepada penganugerahan sesuatu kelayakan.

  10. Kursus
    • Unit asas pembelajaran yang membentuk sesuatu program, mempunyai hasil khusus, kandungan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta kaedah penilaian bagi menyokong pencapaian hasil pembelajaran.

  11. Kurikulum
    • Skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di IPG. Kurikulum merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan siswa guru dengan sepenuhnya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

  12. Aktiviti Kokurikulum
    • Aktiviti persatuan atau kelab, sukan dan olahraga, serta unit beruniform yang wajib diikuti oleh semua siswa guru yang mengikuti latihan perguruan.

  13. Amalan Profesionalisme
    • Semua siswa guru yang mengikuti latihan perguruan ditempatkan di sekolah untuk pengalaman praktik di dalam dan di luar bilik darjah. Amalan Profesionalisme menyediakan peluang kepada siswa guru mempraktikkan teori dalam amalan pengajaran dan pembelajaran serta menghasilkan teori pengajaran dan pembelajaran yang tersendiri.

  14. Hasil Pembelajaran
    • Penguasaan siswa guru dalam amalan nilai profesionalisme keguruan, ilmu pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.

  15. Pemegang Taruh
    • Pihak yang mempunyai kepentingan bersama secara langsung dalam konteks perkhidmatan pendidikan. Contohnya, pentadbir sekolah, ibu bapa, penaja dan ketua perkhidmatan.

  16. Budaya IPG
    • Amalan kerja warga IPG bertujuan mewujudkan identiti institusi unggul yang melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara, serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.

  17. Infrastruktur
    • Kemudahan fizikal di IPG bagi menyokong penterjemahan dan pelaksanaan kurikulum serta kokurikulum yang berkesan, bermakna dan menyeronokkan.

  18. Infostruktur
    • Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), jaringan dalaman dan luaran serta perkhidmatan pusat sumber.