Kemahiran Insaniah

Kemahiran insaniah adalah sifat peribadi yang berupaya meningkatkan kemahiran interaksi individu, prestasi kerja dan prospek kerjaya. Ia ditafsirkan sebagai kompetensi tingkahlaku yang juga dikenali sebagai kemahiran interpersonal atau “people skills” (Jain & Mehta, 2011). Selain itu, Kementerian Pendidikan Tinggi mendefinisikannya sebagai gabungan kemahiran generik yang merangkumi kemahiran bukan akademik seperti kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi dan pembelajaran sepanjang hayat (Roselina Shakir, 2009). Sehubungan itu, terdapat tujuh elemen utama kemahiran insaniah yang diguna secara umum iaitu:

  • Kemahiran Komunikasi
  • Pemikiran Kritis Dan Kemahiran Menyelesaikan Masalah
  • Kemahiran Kerja Berpasukan
  • Pembelajaran Berterusan Dan Pengurusan Maklumat
  • Kemahiran Keusahawanan
  • Moral Dan Etika Profesional
  • Kemahiran Kepimpinan

Kemahiran Komunikasi :

Konstruk ini memerlukan siswa guru berkomunikasi secara lisan dan bukan lisan dengan jelas, berkesan dan yakin. Ia juga memerlukan mereka untuk mendengar pendapat orang lain, memberi maklum balas, membuat pembentangan secara jelas serta yakin dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran teknologi, berunding secara berkhemah untuk mendapat persetujuan bersama, berkomunikasi merentas budaya, memulakan perbualan dengan orang yang baru dikenali dan menggunakan bahasa badan selaras dengan mesej yang ingin disampaikan.

Pemikiran Kritis Dan Kemahiran Menyelesaikan Masalah

Konstruk ini memerlukan siswa guru berupaya untuk mengenal pasti masalah dalam pelbagai situasi, membuat analisis masalah dalam isu yang telah dikenalpasti, membuat penilaian dengan memberi justifikasi secara rasional, menggunakan kemahiran berfikir secara analitik, kritis dan kreatif yang bersesuaian dengan masalah yang dikenalpasti, menjana idea dalam mencari cara penyelesaian terbaik, berfikir luar dari konteks sebenar, membuat keputusan berdasarkan bukti yang kukuh dan bertahan secara berfokus apabila menghadapi masalah yang kompleks.

Kemahiran Kerja Berpasukan

Konstruk ini memerlukan siswa guru berupaya membina hubungan baik dengan ahli kumpulan dan berinteraksi secara efisien untuk mencapai matlamat yang sama. Ia juga memerlukan mereka bekerja secara efektif dan berkesan bersama ahli kumpulan, memahami dan menerima peranan pemimpin dan pengikut , menerima perbezaan latar belakang dan sosio budaya ahli kumpulan, melibatkan diri dalam perancangan dan penyelarasan hasil usaha kumpulan serta menunjukkan komitmen terhadap keputusan kumpulan.

Pembelajaran Berterusan Dan Pengurusan Maklumat

Konstruk ini memerlukan siswa guru berupaya mencari dan mengurus maklumat yang relevan daripada pelbagai sumber dengan menggunakan teknologi yang sesuai, menerima idea baharu untuk mengamalkan pembelajaran kendiri, meneroka dan membangun ilmu baru serta mengenal potensi diri bagi tujuan peningkatan atau penambahbaikan kerja.

Kemahiran Keusahawanan

Konstruk ini memerlukan siswa guru berupaya mengenal pasti peluang perniagaan, membina jaringan sosial melalui perjumpaan professional, mempamerkan ciri-ciri keusahawanan, bekerja sendiri dan menghasilkan produk/idea yang boleh dipasarkan.

Etika Dan Moral Profesionalisme

Konstruk ini memerlukan siswa guru berupaya memahami kesan ekonomi dalam amalan profesionalisme, kesan alam sekitar dalam amalan profesionalisme, kesan sosio budaya dalam amalan profesionalisme, memastikan harta intelek berkaitan penerbitan ilmiah dipelihara, mengamalkan sikap beretika pada setiap masa, mengamalkan sikap kesukarelawanan apabila diperlukan oleh masyarakat, menyokong dasar-dasar kementerian dan menjaga nama baik negara di mana sahaja berada.

Kemahiran Kepimpinan

Konstruk ini memerlukan siswa guru berpengetahuan tentang teori asas kepimpinan dan berkeupayaan untuk mempengaruhi ahli dalam kumpulan untuk melaksanakan sesuatu projek, menjadi mentor kepada ahli pasukan, menjadi pemimpin yang terlibat sepenuhnya dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan dan membangunkan subordinat/ pengikutnya.


Rujukan :

Jain, A. & Mehta, S. (2011). Increasing the employability quotient by equipping with better soft skills. Paper presented at National Conference on Emerging issues in Business Management. Jaipur. March 2011.

Roselina Shakir. (2009). Soft skills at the Malaysian institutes of higher learning. Asia Pacific Education Review, 10(3), 309-315. doi: 10.1007/s12564-009-9038-8