Kemahiran Pedagogi Abad 21

Kejayaan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran adalah dipengaruhi oleh kualiti yang terdapat dalam individu guru. Shulman dan Grossman (1987) menggariskan bahawa pengetahuan yang ada pada seseorang guru berserta kaedah penyampaian mereka  merupakan integrasi  dominan dalam  memastikan  murid-murid menerima pembelajaran yang dinamik dan responsif.

Pedagogi merupakan satu proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat seni dan sains dalam penyampaian isi kandungan. Proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku adalah melalui interaksi antara guru dan murid, isi kandungan serta objektif pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran juga memerlukan guru mengaplikaskan strategi, kaedah, teknik dan aktiviti sebagai medium bertujuan untuk memudahkan murid-murid  menerima dan memahami isi pelajaran yang disampaikan.

Abad 21 memerlukan para pendidik membuat anjakan paradigma terhadap kaedah penyampian mereka di bilik darjah. Kemahiran pembelajaran abad 21 adalah kemahiran pembelajaran yang diperlukan oleh murid untuk berdaya saing pada alaf baru. Pengajaran dan pembelajaran abad 21 juga menuntut agar guru lebih komited dan  kompeten  dalam  pelaksanaan kurikulum di sekolah. Antara komitmen dan kompetensi yang perlu ada pada seseorang guru adalah:

  • Menguasai Isi Kandungan: Berpengetahuan, berkemahiran, dan berpengalaman mengintegrasi serta membina satu pengajaran yang mantap dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.
  • Mengesan Perkembangan Murid: Berkemahiran merancang program bagi menyokong dan membantu perkembangan murid melalui strategi sharply focused, deep dive, analisis data, mempelbagai kaedah dan aktiviti untuk murid mencari ilmu di luar bilik darjah.
  • Menguasai Kemahiran Psikologi Pembelajaran: Berkemahiran memahami bertingkah laku setiap murid bagi memahami ciri-ciri pertumbuhan dan perkembangan murid-murid seperti meramal tingkah laku, memberi motivasi serta menghubungkaitkan dengan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Kemahiran Pedagogi Abad 21 memerlukan siswa guru menguasai pelbagai bidang, berpengetahuan terhadap dasar dan isu pendidikan semasa, mahir dalam pedagogi (pengajaran dan pembelajaran), mahir dalam menggunakan teknologi terkini, serta berkeupayaan memupuk nilai-nilai murni bagi tujuan pembentukan intelek, jasmani, emosi dan sahsiah yang cemerlang dalam kalangan murid-murid. Hal ini bertujuan untuk melahirkan murid-murid  yang produktif, mampu berkolaboratif dan berkomunikasi, bersifat kreatif dan mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi, serta mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Bagi mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21, medium pengajaran dan pembelajaran yang dinyatakan berikut merupakan medium yang selari dengan keperluan pengajaran dan pembelajaran masa kini.

1. Literasi, Maklumat, Media dan Kemahiran Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Konstruk ini memerlukan siswa guru berupaya untuk mengakses kepada informasi secara efisien dan efektif. Siswa guru juga mampu menilai maklumat yang diperoleh secara kritikal dan kompeten di samping menggunakan maklumat yang dicapai secara berkesan bagi penyelesaian masalah khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran. Selain dari itu, konstruk ini juga memerlukan siswa guru untuk menggunakan maklumat untuk menjana maklumat baharu serta memahami isu dan etika maklumat di atas talian.

2. Pengajaran Kontekstual

Konstruk ini memerlukan siswa guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran dengan   menghubungkaitkan pengalaman murid dalam proses pembelajaran. Siswa guru perlu bijak dalam menjadikan aktiviti yang pernah dilaksanakan oleh murid sebagai sebahagian   daripada proses pembelajaran.

3. Merentas Disiplin

Konstruk ini memerlukan siswa guru untuk merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan pelbagai bidang. Hal ini memerlukan guru menggalakkan murid-murid berfikir merentas disiplin agar mereka lebih kreatif dan kritis dalam menghubungkait serta menangani sesuatu isu.

4. Pembelajaran Secara Kolaboratif

Konstruk ini memerlukan siswa guru menerapkan elemen kerjasama dalam kalangan murid bagi menangani sesuatu isu, memberi maklum balas dan berkomunikasi serta berinteraksi antara satu sama lain secara berstruktur dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

5. Pembelajaran Berasaskan Projek

Konstruk ini memerlukan siswa guru membenarkan murid membina kemahiran dan mendapatkan ilmu melalui projek, pembelajaran koperatif dan teknik ‘hands on’. Di samping itu, siswa guru juga perlu menggalakkan murid berfikir secara mendalam dan mencambahkan rasa ingin tahu dengan mengaplikasikan pengetahuan saintifik.

6. Kemahiran Penyelesaian Masalah

Konstruk ini memerlukan siswa guru menyediakan peluang untuk murid mengaplikasikan konsep, prinsip dan teori yang telah dipelajari dan melibatkan murid bergerak secara aktif dalam kumpulan  atau kumpulan kecil, serta  menyelesaikan masalah secara kritis, analitis, logis dan rasional. Siswa guru juga perlu merangsang minda murid secara aktif agar dapat meningkatkan  proses pembelajaran di samping menggalakkan eksplorasi dalam menyelesaikan sesuatu tugasan.

7. Pentaksiran Telus

Konstruk ini memerlukan siswa guru menjelaskan tujuan dan objektif pembelajaran kepada murid di samping menggalakkan murid membuat penilaian kendiri dan mampu membuat penilaian rakan sebaya. Siswa guru juga perlu memberikan maklum balas yang  sesuai dan tepat pada masanya dan menggunakan keputusan pentaksiran untuk menambah baik pengajaran dan pembelajaran.

8. Kemahiran Berfikir

Konstruk ini memerlukan siswa guru untuk menyediakan aktiviti yang mencabar minda murid dengan menggunakan soalan atau stimulus yang beraras tinggi. Siswa guru juga perlu menggalakkan murid membuat penerokaan dan penyelidikan secara terancang dan teratur ke arah mewujudkan idea baharu yang bernas dalam kalangan murid-murid. Selain itu, siswa guru juga perlu  berusaha untuk membangunkan kreativiti dan kemahiran inovasi dalam diri dan sentiasa memupuk agar murid berfikiran kreatif dan menyumbang kepada pembangunan inovasi.

Pembelajaran abad 21 yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik memerlukan peranan dan komitmen yang tinggi dalam kalangan siswa guru.  Siswa guru yang berkualiti dan bersedia melengkapkan diri dengan kemahiran pedagogi abad 21 menjadi sandaran kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk merealisasikan transformasi pendidikan negara seperti yang dihasrat melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025.


Rujukan :

Shulman, L.S. & Grossman, P.L. 1987. Final report to the Spencer Foundation. Stanford, CA:School of Education, Stanford University