Pengenalan

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan untuk mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan dan berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta dapat menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

FALSAFAH PENDIDIKAN GURU

“Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.”


LATAR BELAKANG

Kualiti Siswa Guru (KSG) menggariskan kompetensi profesional yang menepati aspek pendidikan era terkini merangkumi aspek-aspek pedagogi abad 21, kemahiran insaniah, aspek nilai diri dan sosial yang patut dicapai oleh siswa guru bagi membantu mereka mencapai tahap kompetensi yang dihasratkan. Malaysia memberi penekanan yang tinggi terhadap pembangunan modal insan kelas pertama dengan bina upaya merupakan pendekatan utama ke arah mencapai status negara maju pada tahun 2020. Modal insan adalah harta yang boleh disuntik nilai tambahnya, diinjakkan nilai inteleknya serta diperbanyak modal budayanya.

Pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan berkualiti yang dapat menghasilkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju. Pendidikan juga perlu membentuk modal insan yang mampan dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan negara maju. Pendidikan juga perlu membentuk modal insan yang berfikiran kritis dan kreatif, menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baharu, mempunyai daya tahan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang semakin mencab